Digital Rojak
Simple is brilliant.
15/09/2026
14/09/2026
Saya baca tulisan ini, kemudian saya baca ruangan komen. Entah kenapa bahagian komen itu yang lebih membuatkan saya sedih.
Seorang isteri berkahwin dengan warga Bangladesh bercerita suaminya ditengking, hampir dipukul dan dilayan buruk. Tetapi antara respons yang muncul ialah, “Balik Bangladesh”, “siapa suruh kahwin warga asing” dan macam-macam lagi.
Saya tertanya-tanya, apa sebenarnya yang sedang kita pertahankan sampai penderitaan orang pun boleh membuatkan kita marah kepada orang yang menderita? .
Bahagian yang paling mengganggu saya ialah cerita suaminya pernah ditahan polis di Muar dan didakwa kena “paw” RM300 walaupun mempunyai dokumen lengkap.
Saya tentu tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku kerana saya tidak berada di sana, dan dakwaan begini tetap perlukan bukti. Saya juga tidak mahu kerana satu cerita kita menghukum seluruh PDRM.
Tetapi kalau benar perkara seperti ini pernah berlaku, saya sangat berharap ia bukan lagi budaya yang masih wujud hari ini. .
Saya sebenarnya mahu melihat polis kita menjadi institusi yang rakyat benar-benar sayang dan hormat. Saya selalu tertarik melihat imej polis komuniti di Jepun.
Polis bukan manusia yang kita takut apabila nampak, tetapi manusia yang membuatkan kita rasa lebih selamat apabila mereka ada. Saya mahu perasaan begitu terhadap polis di negara sendiri. .
Tetapi ada satu perkara lain yang mungkin lebih dekat untuk kita baiki, iaitu diri kita sendiri. Kalau seorang Bangladesh melakukan kesalahan, hukum kesalahannya. Kalau dia parking salah, tegur parkingnya. Kalau dia melanggar undang-undang, ambil tindakan mengikut undang-undang.
Tetapi apa kaitannya dengan “balik Bangladesh”? Apa kaitannya dengan siapa isterinya memilih untuk berkahwin? .
Kita marah apabila orang luar memberi gambaran buruk tentang Malaysia. Tetapi mungkin sebelum marah, kita patut bertanya, bagaimanakah Malaysia kelihatan dari mata seorang warga asing yang hidup di tengah-tengah kita? .
Dia mungkin tidak membaca Rukun Negara. Dia mungkin tidak tahu slogan yang kita laungkan. Tetapi dia mengenali Malaysia melalui jiran sebelah rumah, peniaga di pasar, orang yang ditemuinya di jalan, pegawai yang menahannya, dan melalui ruangan komen kita. .
Isterinya menulis bahawa suaminya pernah bertanya mengapa orang Islam di Malaysia yang ditemuinya begitu cepat marah sedangkan katanya, “Islam tak macam tu.”
Saya cuma berharap suatu hari nanti apabila seorang warga asing p**ang dan anaknya bertanya, “Ayah, macam mana orang Malaysia?” dia mempunyai lebih banyak cerita tentang kebaikan kita daripada luka yang kita tinggalkan.
Tulisan asal saya letakkan di ruangan komen.
13/09/2026
Antara perkara yang paling mudah berlaku dalam agama ialah apabila sesuatu yang asalnya sangat sederhana, perlahan-lahan kita jadikan semakin rumit, kemudian kita sendiri terlupa mana satu sunnah, mana satu sekadar alat. .
Contoh paling dekat bagi saya ialah sutrah. Rasul memang mengajar orang yang solat supaya menggunakan sutrah. Tetapi yang menarik, sunnah itu tidak datang bersama satu reka bentuk produk bernama “papan sutrah”.
Ulama p**a membincangkan pelbagai benda yang boleh berfungsi sebagai sutrah, botol air, buku, beg, rehal ddl.
Jadi apabila hari ini muncul papan khas siap tertulis SUTRAH, Sunnah Nabi yang terlupakan, saya jadi terfikir, adakah kita sedang menghidupkan sunnah, atau tanpa sedar sedang menambah satu bentuk khusus kepada sunnah yang asalnya sangat fleksibel?
Bagi diri saya sendiri, saya tidak akan menggunakan papan khas begini. Bukan sebab sutrah tidak sunnah, sutrah itulah sunnahnya, tetapi kerana saya lebih selesa menghidupkan fungsi sutrah dengan apa yang memang tersedia, tanpa menjadikan “alat khas sutrah” seolah-olah sebahagian daripada rupa ibadah.
Fenomena ini sebenarnya lebih besar daripada sekeping papan. Ada riwayat yang menggambarkan Rasul selepas sujud pada malam hujan, terlihat kesan air dan tanah atau lumpur pada dahi serta hidung Baginda.
Bagi saya gambaran itu sangat indah kerana sujud pada asalnya begitu sederhana, seorang manusia merendahkan wajahnya kepada Allah, sampai tanah pun boleh melekat di dahinya.
Dalam tradisi Syiah p**a berkembang kefahaman fiqh bahawa dahi ketika sujud hendaklah mengenai tanah atau bahan tertentu yang berasal daripada tanah atau bumi, lalu kita mengenali turbah, kepingan tanah yang dikeraskan untuk dibawa dan digunakan ketika sujud.
Kemudian manusia melakukan apa yang manusia memang sangat pandai lakukan, benda yang sederhana diberikan bentuk, dicetak, diukir, dihias, dibungkus dan akhirnya mempunyai pasaran.
Tanah yang asalnya berada percuma di bawah kaki, akhirnya boleh kembali kepada manusia sebagai sekeping tanah keras yang cantik di dalam kotak dengan tanda harga. 😅
Di situlah kapitalisme sangat menarik untuk diperhatikan, ia bukan semestinya mencipta ibadah baharu, tetapi ia sangat cekap mengambil simbol, identiti dan keperluan manusia lalu bertanya: “Boleh tak benda ini dijadikan produk?”
Dan soalan yang patut kita tanyakan selepas itu ialah, kita sedang membeli sesuatu kerana benar-benar memerlukannya untuk ibadah, atau kerana pasaran berjaya membuat kita terasa ibadah kita belum cukup sempurna tanpanya?
Ini pegangan saya untuk diri saya, bukan untuk mengukur sunnah orang lain. 😅 Kalau orang mahu beli papan sutrah, silakan.
Saya p**a, menggunakan papan khas seperti ini bukan cara yang saya mahu amalkan, pada kefahaman saya, memahami sunnah sutrah tetapi menyempitkannya kepada alat khas boleh menyebabkan kita terlepas keluasan sunnah itu sendiri.
Orang lain mungkin melihatnya cuma sebagai alat praktikal dan itu ruang perbincangan fiqh, bukan bab akidah sampai kita perlu bermasam muka.
Saya semakin rasa umur ini terlalu pendek untuk bergaduh tentang setiap perkara cabang. Ambil ilmu, semak dalil, pegang apa yang kita yakin, hormati ruang khilaf yang muktabar, kemudian teruskan hidup.
Kerana akhirnya Allah tidak bertanya berapa mahal aksesori ibadah kita. Yang jauh lebih menakutkan ialah kalau sutrah di hadapan kita tegak cantik, tetapi hati yang berdiri menghadap Allah langsung tidak hadir. ❤️
13/09/2026
Ramai orang tahu kisah air Zamzam keluar di kaki Nabi Ismail AS.
Tetapi ramai tak tahu satu perkara.
Telaga Zamzam pernah “hilang” daripada penduduk Makkah.
Bukan sehari dua.
Sampai datang satu zaman, orang Makkah sendiri tidak lagi mengetahui dengan tepat di mana telaga yang pernah diminum oleh Nabi Ismail AS itu berada.
Kisahnya panjang.
Selepas zaman Nabi Ismail AS, pengurusan Makkah melalui beberapa fasa. Antara kabilah yang pernah menguasai Makkah ialah Jurhum.
Kemudian berlaku konflik sehingga Jurhum akhirnya terpaksa meninggalkan Makkah.
Dalam riwayat sirah, disebut sebelum mereka keluar, Zamzam ditimbus.
Masa berlalu.
Generasi berganti generasi.
Lokasinya akhirnya tidak lagi diketahui.
Sampailah muncul seorang lelaki bernama Abdul Muttalib.
Kalau nama itu terasa familiar, memang sepatutnya familiar.
Sebab beliau ialah datuk Rasulullah
Menurut riwayat sirah, Abdul Muttalib mendapat petunjuk melalui mimpi supaya menggali Zamzam.
Bayangkan.
Ketika itu belum ada papan tanda
“TELAGA ZAMZAM DI SINI.” 😅
Beliau perlu mencari dan menggali.
Dan ketika usaha itu dilakukan, Abdul Muttalib bukanlah seorang lelaki yang dikelilingi ramai anak lelaki yang boleh mempertahankannya.
Ketika itu yang bersamanya ialah anaknya, al-Harith.
Akhirnya…
Zamzam ditemui kembali.
Tetapi cerita belum habis.
Penemuan itu kemudian membawa kepada pertikaian dengan Quraisy mengenai siapa yang berhak terhadap Zamzam.
Dan daripada kisah Abdul Muttalib ini p**a, kita akan bertemu satu lagi nama yang sangat penting dalam Sirah.
Abdullah bin Abdul Muttalib.
Ayah kepada Rasulullah
Di sinilah saya rasa ada masalah dengan cara ramai antara kita mengenali Sirah.
Kita tahu Zamzam.
Kita tahu Nabi Ismail AS.
Kita tahu Abdul Muttalib.
Kita tahu Abdullah.
Kita tahu Nabi Muhammad.
Tetapi semuanya duduk dalam kepala kita seperti fail-fail berasingan.
Kita tak nampak bagaimana satu peristiwa bersambung dengan peristiwa berikutnya.
Sebab itu apabila Sirah dipelajari secara tersusun, pengalaman dia lain.
Tiba-tiba kita faham:
“Ohhh… rupanya yang ini berlaku sebelum yang itu.”
“Ohhh… patutlah nama ini muncul.”
“Ohhh… rupanya peristiwa ini ada kaitan dengan peristiwa yang aku selalu dengar.”
Sirah mula menjadi sebuah perjalanan, bukan lagi koleksi cerita.
Sebab itulah saya s**a belajar Sirah secara tersusun.
Dan kalau kita pun jenis yang selalu membaca posting Sirah lalu terkeluar ayat,
“Eh, yang ni aku tak pernah tahu…”
saya nak cadangkan satu kelas.
Saya ada letakkan e-course Dr Jefri Haris yang bukan sahaja membawa kita belajar Sirah, tetapi dalam pakej yang sama ada juga pengajian Khulafah ar-Rasyidin, Usul Fiqh dan Hadis Sahih, bersama beberapa bonus pembelajaran.
Akses p**a lifetime.
Dan sekarang harganya RM50 sahaja.
Kadang-kadang kita sanggup RM50 untuk sekali makan satu keluarga.
Kali ini, cuba gunakan RM50 itu untuk sesuatu yang mungkin kita bawa bertahun-tahun,
mengenali sejarah agama dan Rasul yang kita cintai dengan lebih tersusun.
Kalau nak tengok kelas dan apa yang kita akan dapat,
👉 klik link di bio
Masuk, tengok dahulu penerangannya.
Kalau sesuai, terus ambil.
Kemudian mulakan belajar perlahan-lahan.
Sebab semakin saya belajar Sirah, semakin saya sedar satu perkara:
bukan kita tak pernah dengar kisah Nabi.
Kita cuma belum tentu pernah menyusunnya menjadi satu cerita yang lengkap.
13/09/2026
Ayah Rasul pernah hampir disembelih oleh datuk Baginda sendiri. Bukan kerana bermusuh. Bukan kerana perebutan kuasa. Tetapi menurut riwayat Sirah, Abdul Muttalib pernah bernazar, jika Allah mengurniakannya 10 orang anak lelaki yang mampu mempertahankannya, salah seorang akan dikorbankan.
Apabila cukup 10 orang, undian dibuat. Nama yang keluar ialah Abdullah, lelaki yang kelak menjadi ayah Rasulullah
Yang membuat kisah ini terasa ialah Abdullah dikatakan antara anak yang sangat disayangi Abdul Muttalib. Tetapi nazar tetap nazar.
Quraisy dan keluarganya cuba menghalang sehingga mereka mendapatkan pandangan tentang jalan keluar. Undian kemudian dibuat antara Abdullah dan sejumlah unta, dengan bilangan unta ditambah setiap kali undian masih terkena Abdullah.
Akhirnya apabila jumlahnya mencapai 100 ekor unta, undian jatuh kepada unta lalu Abdullah terselamat.
Cuba fikir sebentar. Kita selalu memulakan Sirah dengan, “Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah pada Tahun Gajah…”
Tetapi sebelum sampai kepada kelahiran itu, sudah ada begitu banyak lapisan cerita tentang Zamzam, Abdul Muttalib, Abrahah, Tahun Gajah dan Abdullah.
Bila semuanya dipelajari secara berasingan, ia nampak seperti cerita-cerita kecil. Bila disusun mengikut perjalanan sejarah, tiba-tiba kita akan berkata, “Ohhh… rupanya yang ini bersambung dengan yang itu.”
Itulah beza tahu banyak cerita dengan benar-benar memahami Sirah.
Kalau kita selalu rasa “baru aku tahu” bila terbaca kisah-kisah begini, mungkin sudah sampai masa belajar Sirah secara tersusun.
Saya ada primosikan e-course Dr Jefri Haris bersama pengajian Khulafah ar-Rasyidin, Usul Fiqh, Hadis Sahih dan beberapa bonus pembelajaran.
Boleh belajar perlahan-lahan dan ulang semula bila perlu.
👉 Klik link di bio
13/09/2026
Hampir setahun kemudian, saya rasa nak datang semula ke Restoran KESUM, Rafizi Ramli. Saya cuma nak tahu satu perkara, boleh ke sebuah idea makanan murah bertahan selepas hampir setahun? .
Disember tahun lepas, nasi dengan kopi panas saya ni cuma RM5.20, air kosong percuma. Dalam keadaan hampir semua benda terasa semakin mahal, saya tertanya-tanya sama ada harga itu masih mampu dipertahankan.
Sebab bagi saya, mencipta sesuatu yang murah ketika baru dilancarkan itu satu perkara. Mengekalkannya murah apabila kos, masa dan perhatian orang sudah berubah, itu perkara lain. .
Jadi jadi tiba-tiba saya rasa nak cari masa dating dengan wife berdua di sini. Saya nak tengok idea itu masih hidup atau tidak.
Jom cari masa, anak-anak sedang sibuk berkativiti, kita singgah tengok, RM5.20 itu masih realiti atau sudah menjadi sejarah.
13/09/2026
Posting saya tentang sutrah pergi lebih jauh daripada yang saya jangka. .
Ada yang setuju. Ada yang tidak setuju. Ada yang berkongsi dalil. Ada yang membetulkan saya. Ada yang mungkin membaca tulisan saya dengan rasa kecewa atau marah. .
Saya baca banyak daripada komen-komen itu. Ada ketika saya tersenyum. Ada ketika saya berhenti lama. Dan ada ketika saya rasa sedikit sedih. .
Bukan kerana orang tidak bersetuju dengan saya. .
Saya sudah lama menulis di media sosial. Saya tahu apabila kita membuka mulut tentang sesuatu, kita juga sedang membuka pintu untuk orang mengatakan kita salah. .
Yang membuat saya sedih ialah apabila sebuah perbincangan tentang sunnah akhirnya membuat sesama kita semakin keras antara satu sama lain. .
Sedangkan kita semua mungkin sedang mengejar perkara yang sama. Kita mahu mengikuti Rasul.
Cuma kita melihat jalan untuk melakukannya daripada sudut yang berbeza. Sebab itu selepas semuanya reda sedikit, saya baca semula tulisan saya.
Saya baca komen orang yang bersetuju. Kemudian saya sengaja baca komen orang yang tidak bersetuju.
Saya cuba bertanya kepada diri sendiri:
“Rosman, mungkin mereka sebenarnya nampak sesuatu yang kamu tak nampak?” .
Saya tidak mahu umur bertambah tetapi hati semakin susah menerima bahawa saya mungkin tersilap. Dan selepas membaca semuanya, ada perkara yang saya masih pegang.
Ada juga bahasa saya yang saya rasa boleh diperhalusi. .
Posting asal saya sebenarnya bermula daripada satu pemerhatian yang sangat sederhana. .
Rasul mengajar orang yang solat supaya menggunakan sutrah. Tetapi sunnah itu tidak datang bersama satu reka bentuk produk khusus bernama “papan sutrah”. .
Dalam hadis dan perbahasan ulama, sutrah tidak terikat kepada satu produk tertentu. Kita boleh manfaatkan dinding, tiang, tunggangan, manusia lain yang solat, zikir, rehat dan objek lain yang boleh menjalankan fungsi sutrah. .
Jadi persoalan saya sejak awal bukan “Boleh atau tidak menggunakan papan sutrah?” .
Bagi saya itu persoalan yang terlalu kecil. Yang bermain dalam kepala saya ialah persoalan lain.
Apabila manusia mencipta satu alat untuk membantu melaksanakan sunnah, pada titik mana masyarakat mungkin mula melihat bentuk alat itu sendiri sebagai sebahagian daripada sunnah? .
Itulah sebenarnya yang saya fikirkan. Dan saya mahu jelaskan sesuatu kerana saya nampak ada yang memahami tulisan saya seolah-olah saya telah mengatakan sesuatu yang saya sendiri tidak pernah kata. .
Saya tidak pernah mengatakan papan sutrah khas itu bid‘ah. .
Saya ulang. .
Saya tidak pernah mengatakan orang yang menggunakannya melakukan bid‘ah. .
Kalau tuan-tuan mahu menggunakannya, silakan. .mSaya tidak marah. Saya tidak rasa terganggu. Apatah lagi mahu memandang rendah orang yang menggunakannya. .
Mungkin orang yang membawa papan itu jauh lebih ikhlas mahu menghidupkan sunnah daripada saya. Mungkin solatnya jauh lebih khusyuk daripada saya. Mungkin di sisi Allah, kedudukannya jauh lebih baik daripada saya. .
Siapalah saya untuk mengetahui semua itu? .
Cuma secara peribadi, saya memilih tidak menggunakannya. Bukan kerana saya mahu menjadi lebih sunnah daripada orang lain. .
Saya cuma merasakan di sekeliling kita sudah ada banyak perkara yang boleh menjalankan fungsi sutrah. .
Ada dinding, gunakan dinding. Ada tiang, gunakan tiang. Ada objek yang sesuai, gunakanlah. .
Kalau seseorang lebih mudah guna papan khas, gunakan juga. Kita tidak perlu bermusuh kerana itu.
Sutrah itu sunnah. Papan itu alat. .
Dan bagi saya, memahami beza dua perkara ini sangat penting. .
Al-Quran tidak diturunkan dalam bentuk aplikasi telefon, tetapi hari ini kita membacanya melalui telefon. .
Mikrofon bukan sebahagian daripada azan Bilal RA, tetapi hari ini kita menggunakannya supaya suara azan sampai lebih jauh. .
Rak kasut bukan sunnah khusus. Garisan saf pada karpet bukan sunnah khusus. Paparan digital waktu solat juga bukan sunnah khusus. .
Semua itu alat. .
Dan saya bersyukur manusia menciptanya kerana banyak daripadanya memudahkan kita melakukan kebaikan. .
Saya bukan anti-alat. Saya bukan anti-inovasi.
Saya cuma risau apabila alat, cara dan ibadah perlahan-lahan bercampur dalam fikiran kita sehingga generasi selepas kita tidak lagi tahu yang mana satu agama tetapkan dan yang mana satu manusia cipta untuk membantu melaksanakannya. .
Itu sahaja kebimbangan saya. Kemudian saya melihat satu perkembangan yang membuat saya berfikir lebih jauh. .
Ada pihak mula membuka wakaf papan sutrah pada harga tertentu yang pada pandangan saya agak tinggi, dengan hasrat memperkenalkan sunnah yang dikatakan semakin dilupakan ini ke masjid-masjid di seluruh Malaysia. .
Ada juga disebut, insya-Allah, pahala akan terus mengalir selagi orang menggunakannya. .
Saya baca perkara itu beberapa kali. Dan saya tidak mahu cepat-cepat menghukum. .
Mungkin orang yang memulakannya benar-benar ikhlas. Mungkin dia mengeluarkan tenaga, masa dan duit kerana cintakan sunnah. Mungkin ada orang yang menyumbang kerana dalam hatinya benar-benar berharap meninggalkan sesuatu untuk Allah selepas dia mati. .
Saya tidak tahu hati manusia. Allah yang tahu. Sebab itu saya tidak menulis, “Ini bid‘ah.” Saya juga tidak mahu berkata “Orang yang wakaf itu salah.” .
Bukan itu yang mengganggu fikiran saya. Yang saya fikirkan ialah apa yang mungkin berlaku kepada sebuah alat apabila masyarakat mula membina budaya di sekelilingnya. .
Hari ini kita berkata, “Ini cuma alat untuk membantu orang bersutrah.” .
Kemudian kita menghasilkan papan khas. Kita memberinya nama. Kita mewakafkannya. Kita meletakkannya di masjid-masjid. Kemudian kita menjalankan kempen menyebarkannya atas nama menghidupkan sunnah yang dilupakan. .
Tidak ada satu pun langkah itu secara sendirinya membuktikan sesuatu itu salah. .
Tetapi saya takut berlaku satu perubahan yang terlalu halus sehingga kita sendiri tidak menyedarinya. .
Daripada “Mari kita hidupkan sunnah bersutrah.” perlahan-lahan menjadi “Mari kita sebarkan papan sutrah untuk menghidupkan sunnah.” .
Ayatnya hampir sama. Tetapi hati saya rasa ada sesuatu yang perlu diperhatikan di situ. .
Yang pertama meletakkan sunnah di tengah. Yang kedua berisiko menyebabkan alat semakin hampir ke tengah. .
Saya teringat budaya wakaf al-Quran. Mewakafkan mushaf adalah amal yang sangat baik apabila diperlukan dan dimanfaatkan. .
Tetapi manusia mempunyai kecenderungan yang menarik. .
Apabila satu bentuk amal menjadi pop**ar, kita mahu membawanya semakin jauh. Masjid sudah mempunyai banyak mushaf, kita tambah lagi.
Kemudian wakaf ke tempat lain. Kemudian ke Tanah Haram. Kita begitu ghairah mahu memberi sehingga terlupa bertanya “Di sana benar-benar memerlukan benda ini atau tidak?” .
Lalu terlintas satu soalan dalam kepala saya. Mungkin kedengaran sedikit nakal, tetapi sebenarnya saya bertanya dengan serius
Adakah suatu hari nanti akan ada p**a kempen “Wakaf Papan Sutrah ke Masjid Nabawi”? Saya tidak tahu. Mungkin tidak pernah berlaku. .
Saya juga tidak mahu menuduh sesuatu yang belum berlaku. Tetapi soalan itu membuat saya memeriksa satu perkara. Apakah sebenarnya yang sedang kita sebarkan?
Sunnahnya? atau produk yang kita cipta untuk membantu melaksanakan sunnah itu? .
Kemudian fikiran saya pergi kepada satu contoh yang jauh lebih sensitif. .Tradisi turbah dalam Syiah Imamiyyah. Saya tahu apabila menyebut Syiah, emosi mudah naik. Jadi saya mahu sangat berhati-hati. .
Saya tidak mengatakan papan sutrah sama dengan turbah Karbala. Saya tidak mengatakan orang yang menggunakan papan sutrah sedang menuju kepada amalan Syiah. Dan saya sama sekali tidak menyamakan hukum kedua-duanya. .
Bukan itu maksud saya. Saya cuma melihat satu sifat manusia yang merentas zaman
Dalam tradisi Syiah Imamiyyah sendiri ada kerangka fiqh tentang bahan tempat sujud. Dalam perkembangan tradisi mereka, kepingan tanah atau turbah menjadi sangat dikenali, dan tanah Karbala khususnya memperoleh kedudukan serta simbolisme yang lebih besar. .
Saya melihat proses itu lalu bertanya kepada diri sendiri. Sesuatu boleh bermula sebagai bahan. Kemudian menjadi alat. Alat diberi bentuk. Bentuk diberi nama. Nama diulang berkali-kali. Kemudian ia semakin kuat dikaitkan dengan agama. .
Akhirnya mungkin generasi yang datang kemudian mengenali objeknya dahulu sebelum memahami prinsip di belakangnya. .
Itulah perkara yang sebenarnya saya risau. Bukan papan. .
Saya risau kita tanpa sedar mengajar anak-anak kita rupa agama tetapi terlupa mengajar mereka bagaimana agama berfikir. .
Saya ada anak-anak yang sedang membesar. Dan apabila saya memikirkan perkara begini, saya selalu terfikir tentang mereka. .
Mereka perlu membezakan antara apa yang benar-benar Rasul ajarkan, apa yang ulama fahami daripada dalil, dan apa yang manusia kemudian cipta sebagai alat untuk memudahkan kehidupan. .
Saya tidak mahu mereka menjadi generasi yang setiap kali nampak benda baru terus menjerit “Bid‘ah!” .
Tetapi saya juga tidak mahu mereka menjadi generasi yang menerima setiap benda yang dibungkus dengan perkataan “sunnah” tanpa pernah bertanya. .
Saya mahu mereka ada ilmu. Dan lebih penting, ada adab ketika berbeza. .
Kerana apa gunanya kita menang hujah tentang sutrah kalau dalam perjalanan mempertahankan sunnah itu kita melukakan saudara sendiri? .
Apa gunanya saya membuktikan saya betul tetapi orang yang membaca tulisan saya p**ang dengan hati yang semakin jauh daripada saya? .
Bahagian itu membuat saya sedih. Kita semua berdiri menghadap kiblat yang sama. Kita rukuk kepada Tuhan yang sama. Kita sujud kepada Allah yang sama. Kita membaca al-Fatihah yang sama. Kemudian selesai salam…
kita boleh bermusuh kerana benda yang kita letakkan di hadapan tempat kita sujud. .
Entah kenapa apabila saya fikir begitu, rasa kecil sangat diri ini. Umur kita pun bukan panjang sangat. .
Hari ini kita bergaduh di ruangan komen. Esok lusa mungkin nama kita p**a disebut ketika solat jenazah. .
Dan ketika itu saya rasa tidak ada siapa akan bertanya sama ada saya pernah menang perdebatan tentang papan sutrah di Facebook. .
Sebab itu kepada mereka yang tidak bersetuju dengan tulisan saya, saya mahu berkata sesuatu dengan ikhlas: .
Kalau ada hujah saya yang salah, tegurlah. Kalau ada dalil yang saya terlepas, tunjukkan. Kalau bahasa saya kasar tanpa saya sedari, nasihatkan. .
Saya juga sedang belajar. .
Dan kalau akhirnya selepas kita membaca dalil yang sama kita masih sampai kepada pandangan yang berbeza, tidak mengapa. .
Kalau suatu hari kita bertemu di masjid…tuan gunakan papan sutrah tuan. Saya gunakan tiang saya. 😅 . Selepas solat, kita salam. Kita senyum. Kalau ada kopi, kita minum sekali. .
Kerana saya berharap ukhuwah kita lebih besar daripada benda yang kita perselisihkan. .
Dan mungkin itulah perkara terbesar yang saya belajar selepas membaca begitu banyak komen. Bantahan tidak semestinya membuat kita menukar kesimp**an.
Tetapi bantahan yang baik memaksa kita memperkemaskan bahasa, memeriksa niat dan merendahkan sedikit ego. .
Kita tidak belajar agama untuk membuktikan bahawa semalam kita sentiasa betul. Kita belajar supaya hari ini kita mempunyai keberanian untuk berkata “Yang ini saya masih pegang.” “Yang ini saya mungkin tersalah menyampaikan.” “Dan yang ini rupanya saya belum cukup tahu.” .
Saya masih memilih untuk tidak menggunakan papan sutrah khas. Saudara saya yang memilih menggunakannya, silakan. .
Tetapi mudah-mudahan kita tidak pernah lupa perkara yang jauh lebih besar daripada papan itu. .
Kita sedang cuba mengikuti seorang Rasul yang mengajar manusia bukan sahaja bagaimana hendak solat…tetapi bagaimana hendak menjadi manusia. .
Manusia yang berilmu. Manusia yang tawaduk. Manusia yang lembut. Manusia yang apabila berbeza, masih mampu menjaga hati saudaranya. .
Pada mulanya saya fikir saya sedang menulis tentang sebuah papan kecil di hadapan orang yang sedang solat. .
Dan kalau tulisan ini ada salahnya, semoga Allah ampunkan saya. Kalau ada benarnya, semoga Allah menjadikannya sebab kita semakin mencintai sunnah Rasul tanpa kehilangan kasih kepada sesama manusia. .
Sebab akhirnya saya tidak mahu menang sebuah perdebatan…tetapi kehilangan seorang saudara. ❤️
Click here to claim your Sponsored Listing.
Category
Contact the school
Telephone
Website
Address
Taman Muda
Ampang
56100