IKRAM Perlis

IKRAM Perlis

Share

Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from IKRAM Perlis, Non-Governmental Organization (NGO), Jalan Padang Nyu, Kangar.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Perlis adalah sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam.

26/09/2026

Pernahkah kita bergegas ke masjid selepas menerima berita kematian seorang sahabat, jiran atau kenalan tetapi solat jenazah telah selesai? Jenazah sudah diangkat menuju ke tanah perkuburan.

Kita p**a hanya sempat berdiri di belakang, memandang orang ramai pergi sambil hati berkata, “Aku terlepas solat jenazahnya.” Lebih menyedihkan apabila kita sampai ke tanah perkuburan ketika tanah sudah mula menutupi liang lahad.

Pada saat itu, mungkin timbul satu persoalan, masihkah ada peluang untuk kita menunaikan solat jenazah? Persoalan ini membawa kita bukan sahaja kepada perbahasan fiqh, tetapi juga kepada satu akhlak besar yang perlu kita hayati daripada Rasulullah SAW iaitu rahmah dan kepedulian terhadap sesama manusia.

Rasulullah SAW tidak melupakan mereka yang pergi

Antara kisah yang sangat menyentuh hati ialah kisah seorang yang biasa membersihkan masjid Nabi SAW. Apabila orang tersebut meninggal dunia, para sahabat mengebumikannya tanpa memberitahu Rasulullah SAW.

Apabila Baginda bertanya tentangnya dan diberitahu bahawa dia telah meninggal dunia, Rasulullah SAW bersabda:

“Mengapa kamu tidak memberitahuku tentangnya? Tunjukkan kepadaku kuburnya.” Baginda kemudian pergi ke kuburnya dan menunaikan solat jenazah untuknya. (HR al-Bukhari, no. 458)

Perhatikan akhlak Baginda. Orang tersebut bukan tokoh besar, bukan pemimpin dan bukan orang kaya. Namun kematiannya tetap mendapat perhatian Rasulullah SAW. Inilah antara akhlak yang perlu kita hidupkan sempena Maulidur Rasul.

Menghargai manusia, mengambil berat terhadap mereka dan tidak membiarkan seorang Muslim pergi tanpa kita memberikan penghormatan terakhir serta doa.

Solat jenazah: Doa daripada yang hidup untuk yang pergi

Solat jenazah sering dianggap sebagai satu urusan yang perlu “diselesaikan” sebelum jenazah dikebumikan. Hakikatnya, ia jauh lebih besar daripada itu. Ia merupakan saat ketika orang yang hidup berdiri mendoakan orang yang telah meninggal dunia.

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan besarnya ganjaran menziarahi jenazah. Daripada Abu Hurairah r.a., Baginda bersabda bahawa sesiapa yang menziarahi jenazah sehingga disolatkan mendapat satu qirat, manakala sesiapa yang mengiringinya sehingga selesai pengebumian mendapat dua qirat. Apabila ditanya apakah dua qirat itu, Baginda menjawab: “Seperti dua gunung yang besar.” (HR al-Bukhari, no. 1325)

Ganjaran besar yang disediakan ini menunjukkan bahawa Islam sangat menggalakkan umatnya mengambil berat tentang urusan saudara yang lain serta mendoakan kebaikan untuk mereka sehingga ke akhir hayat.

Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya supaya memperbanyak orang yang menunaikan solat jenazah. Dalam Sahih Muslim, daripada Ibn ‘Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu empat puluh orang lelaki yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun berdiri menunaikan solat ke atasnya, melainkan Allah menerima syafaat mereka untuknya.” (HR Muslim, no. 948)

Hadis ini memberikan gambaran yang indah tentang ukhuwah Islamiah. Seorang Muslim yang telah meninggal dunia masih mendapat manfaat daripada saudara-saudaranya yang hidup. Bayangkan jika kita hadir bersama puluhan saudara Muslim yang lain.

Ada yang mengenalinya, ada yang mungkin tidak pernah bertemu dengannya. Namun semuanya berdiri dalam satu saf, mengangkat takbir dan memohon keampunan Allah SWT untuknya. Itulah ukhuwah.

Terlepas peluang untuk solat jenazah

Kembali kepada persoalan awal. Bagaimana jika kita tidak sempat hadir? Bagaimana kalau ketika kita tiba, jenazah sudah dikebumikan? Sunnah Rasulullah SAW menunjukkan bahawa masih terdapat ruang dalam keadaan tersebut.

Dalam hadis yang sama tentang orang yang membersihkan masjid tadi, Rasulullah SAW pergi ke kuburnya selepas pengebumian dan menunaikan solat jenazah ke atasnya. Peristiwa ini menjadi dalil penting tentang solat jenazah di kubur selepas pengebumian.

Dalam mazhab Syafi‘i, seseorang yang belum sempat menunaikan solat jenazah sebelum pengebumian diberikan ruang untuk menunaikannya di kubur. Maka, jika seseorang terlepas solat jenazah, jangan terus berputus asa. Dalam keadaan tertentu, masih ada ruang yang diiktiraf dalam fiqh Islam.

Maulidur Rasul: Belajar akhlak, bukan sekadar mengingati

Di sini dapat dilihat hubungan yang sangat indah antara solat jenazah dengan Maulidur Rasul. Kita sering berbicara tentang Rasulullah SAW sebagai seorang yang penyayang. Jelas bahawa kasih sayang Baginda bukan sekadar ungkapan.

Baginda bertanya tentang orang yang telah meninggal dunia. Baginda pergi ke kuburnya. Baginda menunaikan solat ke atasnya. Baginda tidak memandang kecil seseorang hanya kerana kedudukannya dalam masyarakat.

Maka jika benar kita mencintai Rasulullah SAW, antara tanda cinta itu ialah berusaha menghidupkan akhlak Baginda dalam kehidupan seharian, khususnya dalam hubungan kita sesama manusia.

Apabila seorang jiran meninggal dunia, hadirkanlah diri untuk menziarahi dan menunaikan solat jenazah. Apabila seorang sahabat kehilangan ibu atau ayahnya, luangkan masa untuk menziarahi, menghulurkan bantuan dan memberikan sokongan kepada keluarganya yang sedang berduka.

Apabila ada solat jenazah, janganlah kita menunggu orang lain untuk hadir terlebih dahulu. Walaupun kita tidak mengenali si mati, dia tetap saudara kita dalam Islam dan mempunyai hak untuk menerima doa serta penghormatan daripada saudara Muslimnya.

Kehadiran kita mungkin kelihatan kecil pada pandangan kita, tetapi boleh menjadi sangat bermakna kepada keluarga yang sedang menghadapi kehilangan.

Inilah antara bentuk dakwah yang hidup dan dapat dirasai oleh masyarakat. Dakwah bukan hanya disampaikan melalui mimbar, kuliah atau tulisan, tetapi turut diterjemahkan melalui keprihatinan, kehadiran dan akhlak yang baik.

Kadangkala, satu tindakan yang sederhana seperti hadir dan menunaikan solat jenazah dan mengiringinya ke tanah perkuburan mampu menyampaikan mesej Islam tentang kasih sayang, persaudaraan dan kepedulian dengan lebih berkesan daripada kata-kata yang panjang.

Jangan terlepas peluang

Jika kita diberikan peluang untuk menghadiri solat jenazah, luangkanlah masa untuk bersama-sama mendoakan saudara Muslim yang telah pergi. Kehadiran kita bukan sekadar memenuhi saf, tetapi menjadi tanda penghormatan kepada si mati dan sokongan kepada keluarga yang sedang berduka.

Jika keadaan mengizinkan, iringilah jenazah sehingga selesai pengebumian kerana Rasulullah SAW menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menyertai pengurusan jenazah hingga ke tempat persemadiannya.

Apabila jemaah yang hadir ramai, susunlah saf dengan baik dan sempurna sebagai lambang kebersamaan umat Islam dalam memberikan penghormatan terakhir kepada si mati. Kehadiran yang ramai juga memperlihatkan bahawa seorang Muslim tidak ditinggalkan sendirian ketika berhadapan dengan kematian.

Walaupun kita tidak mengenali si mati secara dekat, hubungan sebagai saudara seagama sudah cukup menjadi alasan untuk kita hadir, mendoakan dan menunjukkan kepedulian terhadapnya.

Namun, sekiranya kita benar-benar terlepas solat jenazah, janganlah terus menganggap bahawa semua peluang untuk berbakti kepada si mati telah tertutup. Dalam keadaan tertentu, syariat masih memberikan ruang untuk menunaikan solat jenazah selepas pengebumian berdasarkan perincian yang dibahaskan oleh para ulama.

Ruang ini bukan alasan untuk kita sengaja melengahkan kehadiran, sebaliknya menjadi rahmat bagi mereka yang benar-benar terlepas dan pada masa yang sama mengingatkan kita agar tidak mensia-siakan peluang untuk menghidupkan ukhuwah serta menzahirkan akhlak Rasulullah SAW.

Ustazah Hasliza Talib
Jabatan Kefahaman Islam dan Bahasa Arab
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

25/09/2026

Hospital sering dikaitkan dengan kesakitan, rawatan dan pemulihan. Namun, di sebalik deretan katil, bunyi peralatan perubatan dan langkah pantas petugas kesihatan, hospital sebenarnya merupakan sebuah ruang sosial yang memperlihatkan wajah kemanusiaan paling tulen.

Di situ, perbezaan bangsa, agama, kedudukan dan fahaman politik seakan-akan ditinggalkan di luar pintu wad. Apabila kesihatan diuji, manusia tidak lagi berdiri atas pangkat atau darjat. Mereka dipertemukan oleh satu hakikat yang paling asas: Setiap insan mempunyai tubuh yang rapuh, hati yang perlu dikuatkan dan harapan untuk kembali sembuh.

Hospital boleh diibaratkan sebagai miniatur Malaysia. Doktor, jururawat, petugas sokongan, pesakit dan ahli keluarga datang daripada pelbagai latar belakang. Namun, ketika bantuan diperlukan, tiada tangan yang bertanya tentang bangsa sebelum menghulurkan pertolongan. Tiada kata-kata semangat yang perlu diterjemahkan mengikut warna kulit atau kepercayaan.

Di sinilah ungkapan “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” diterjemahkan melalui tindakan. Perpaduan bukan lagi sekadar slogan pada kain rentang, tetapi hadir melalui segelas air yang dihulurkan, kerusi yang diberikan kepada warga emas, senyuman seorang jururawat dan pertanyaan ikhlas tentang keadaan pesakit.

Sakit yang menyatukan

Di wad, tiada perbezaan. Sakit menyatukan, manakala kemanusiaan membantu menyembuhkan.

Semangat muhibah yang terbina di hospital boleh difahami melalui Teori Hubungan Antara Kump**an yang dipelopori oleh Gordon Allport. Teori ini menjelaskan bahawa hubungan langsung antara individu daripada kelompok yang berbeza berupaya mengurangkan prasangka, terutamanya apabila mereka berkongsi matlamat serta berada dalam suasana yang menggalakkan kerjasama.

Di hospital, matlamat bersama itu sangat jelas iaitu menyelamatkan nyawa, memulihkan kesihatan dan mengurangkan penderitaan. Perbezaan tidak lagi menjadi tembok pemisah. Sebaliknya, kepakaran, keprihatinan dan rasa tanggungjawab menjadi jambatan yang menghubungkan manusia.

Dalam keadaan sedemikian, seseorang tidak lagi melihat individu lain semata-mata sebagai Melayu, Cina, India, masyarakat Sabah atau Sarawak, atau anggota mana-mana kelompok. Mereka dilihat sebagai doktor yang merawat, jururawat yang menjaga, petugas yang membantu atau pesakit yang memerlukan sokongan.

Bak kata peribahasa, “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Keharmonian tidak lahir dengan sendirinya. Ia terbentuk apabila manusia memilih untuk mengetepikan prasangka dan mendahulukan nilai kemanusiaan.

Tetap melukakan

Tidak semua pesakit memasuki hospital kerana penyakit yang berpunca daripada faktor fizikal semata-mata. Ada tubuh yang akhirnya rebah setelah terlalu lama memikul tekanan. Ada fikiran yang keletihan kerana terus dihimpit tuntutan. Ada juga hati yang terluka akibat kata-kata, peminggiran dan pembulian emosi yang berlaku secara berulang.

Pembulian emosi tidak meninggalkan lebam yang dapat dilihat dengan mata kasar. Namun, kesannya boleh meresap perlahan-lahan, seperti air yang menitik ke batu. Sekali dua mungkin dianggap kecil, tetapi apabila berterusan, akhirnya meninggalkan lekuk yang mendalam. Sindiran, penghinaan, tindakan meminggirkan atau memperkecil kebolehan seseorang, manip**asi emosi dan penyalahgunaan kuasa tidak seharusnya dinormalisasikan sebagai perkara biasa dalam kehidupan atau di tempat kerja. Kata-kata mungkin tidak bermata pisau, tetapi tetap mampu melukakan.

Peribahasa Melayu mengingatkan, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”. Kata-kata yang dilemparkan mungkin segera dilupakan oleh penuturnya, tetapi kesannya boleh lama tersimpan dalam ingatan penerimanya.

Turut mempengaruhi kesejahteraan

Keadaan ini dapat difahami melalui Model Biopsikososial, yang melihat kesihatan sebagai hasil interaksi antara faktor biologi, psikologi dan sosial. Kesihatan manusia bukan hanya berkaitan dengan organ tubuh atau keputusan pemeriksaan perubatan.

Emosi, hubungan sosial, persekitaran pekerjaan dan pengalaman harian turut mempengaruhi kesejahteraan seseorang.Tekanan yang berpanjangan ibarat tali yang ditarik tanpa henti. Pada suatu ketika, tali itu akan kehilangan daya tahannya. Begitu juga halnya dengan manusia. Ketabahan tidak bererti seseorang mampu menanggung segala-galanya tanpa batas.

Ketika seseorang berhadapan dengan kesakitan atau tekanan, sokongan sosial boleh menjadi benteng yang penting. Teori Penampan Tekanan oleh Sheldon Cohen dan Thomas Wills menerangkan bahawa sokongan daripada keluarga, sahabat, rakan sekerja serta komuniti dapat membantu mengurangkan kesan buruk tekanan terhadap kesejahteraan seseorang.

Budaya saling menyokong

Di hospital, sokongan sedemikian hadir tanpa mengira kaum dan agama. Doa mungkin diungkapkan dalam bahasa yang berbeza, tetapi semuanya membawa harapan yang sama. Hal ini membuktikan bahawa empati ialah bahasa kemanusiaan yang tidak memerlukan penterjemah.

Sekiranya budaya saling menyokong ini dapat dibawa keluar dari hospital ke tempat kerja, institusi pendidikan dan kehidupan bermasyarakat, banyak tekanan serta konflik boleh dikurangkan. Kita tidak seharusnya menunggu seseorang jatuh sakit sebelum menunjukkan keprihatinan.

Daripada pengalaman itu, lahir satu pengajaran bahawa berdamai dengan takdir bukan bererti menyerah kalah. Ia juga tidak bermaksud seseorang perlu membiarkan dirinya terus diperlakukan secara tidak adil.

Hospital mengajar bahawa perpaduan tidak semestinya dibina melalui acara besar atau ucapan yang gah. Perpaduan bermula melalui tindakan kecil iaitu menghormati, mendengar, membantu dan tidak menambah beban kepada mereka yang sedang berjuang.

Kita mungkin tidak mampu menyembuhkan semua penyakit, tetapi kita boleh memilih untuk tidak menjadi punca luka kepada orang lain. Kita mungkin tidak mengetahui beban yang sedang dipikul seseorang, tetapi kita boleh memastikan kata-kata dan tindakan kita tidak menambahkan beratnya.

Masyarakat bertamadun

Masyarakat yang benar-benar bertamadun bukan sahaja memiliki kemudahan perubatan moden, tetapi turut mempunyai budaya empati yang kukuh. Kemajuan teknologi boleh membantu merawat tubuh, tetapi sentuhan kemanusiaanlah yang menguatkan jiwa.

Kesakitan mungkin membawa seseorang ke hospital, tetapi di situlah kadangkala ditemukan makna sebenar kehidupan. Antara manusia yang tidak saling mengenali, lahir bantuan tanpa syarat. Di tengah-tengah perbezaan, tumbuh semangat muhibah. Di sebalik ujian, hadir hikmah yang mengajar manusia supaya lebih menghargai kesihatan, kedamaian dan hubungan sesama insan.

Jangan menunggu kesihatan tergugat untuk belajar mengurus tekanan. Jangan menunggu seseorang terluka untuk mula menjaga tutur kata. Jangan p**a menunggu perpecahan berlaku sebelum menghidupkan semangat perpaduan.

Jika nilai kemanusiaan yang hidup di hospital dapat diterapkan dalam kehidupan seharian, Malaysia bukan sahaja mampu menjadi sebuah negara maju, tetapi juga masyarakat yang saling menjaga, bagai aur dengan tebing, berbeza akar tetapi saling menguatkan.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2026!

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ahli Majlis Bahasa Negara & Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS

24/09/2026

Saya berumur empat tahun ketika Malaysia dibentuk. Sejak itu, Malaysia ialah satu-satunya negara yang saya kenal sebagai tanah air. Ke mana sahaja saya pergi, di dalam atau di luar negara, saya bangga membawa nama Malaysia.

Selepas 63 tahun, saya masih mengharapkan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, utuh dan dihormati, dengan keunikan kepelbagaian yang menjadi kekuatannya.

Namun selepas lebih enam dekad, kita perlu berani bertanya soalan yang lebih mendasar iaitu, apakah nilai yang mahu kita pertahankan sebagai rakyat Malaysia?

Kita sering bercakap tentang Malaysia yang moden, progresif dan terbuka. Tetapi keterbukaan tidak bermaksud semua yang datang dari luar mesti diterima. Begitu juga dengan agama dan nilai moral yang tidak sepatutnya hanya dipertahankan apabila ia menguntungkan kepentingan politik.

Inilah antara persoalan yang perlu kita renungkan selepas 63 tahun.

Jangan keliru antara kemajuan dengan kehilangan nilai

Malaysia dibina atas kepelbagaian. Melayu, Cina, India, Orang Asli serta pelbagai etnik Sabah dan Sarawak hidup bersama dengan agama, bahasa, budaya dan adat yang berbeza.

Tetapi kepelbagaian tidak bermakna kita tidak mempunyai identiti. Identiti Malaysia justeru terbentuk daripada kemampuan kita hidup bersama tanpa perlu menjadi sama.

Cabaran kita hari ini datang daripada dua arah.

Globalisasi dan media digital membawa masuk pelbagai nilai, budaya dan gaya hidup tanpa sempadan. Pada masa yang sama, politik identiti semakin menguat sehingga agama, kaum dan budaya mudah dijadikan senjata untuk menentukan siapa yang “lebih Malaysia”, lebih patriotik atau lebih beragama.

Jika kita gagal mengurus kedua-duanya, kita mungkin kehilangan jiwa negara bukan kerana kepelbagaian, tetapi kerana kita gagal membina nilai bersama.

Kontroversi drama Madu Atau Racun baru-baru ini wajar dilihat dalam kerangka ini. Perdebatan mengenainya tidak seharusnya disempitkan kepada pertentangan antara “kebebasan berkarya” dan “konservatisme”.

Persoalan yang lebih besar ialah apakah sempadan kebebasan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai nilai, agama dan budaya yang pelbagai?

Kebebasan berkarya penting. Tetapi kebebasan tidak bermakna ketiadaan tanggungjawab. Industri kreatif juga mempunyai tanggungjawab sosial, khususnya apabila kandungan yang dihasilkan boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku generasi muda.

Kita tidak boleh membiarkan sesuatu yang tidak sihat dinormalisasikan hanya dengan alasan bahawa ia “sekadar hiburan”.

Tetapi bagaimana dengan politik yang menggunakan agama?

Jika kita tegas apabila nilai agama disentuh dalam filem atau drama, kita juga mesti tegas apabila agama digunakan dalam politik.

Kenyataan bahawa perjuangan melalui sesebuah parti politik boleh membawa seseorang ke syurga sepatutnya mengundang renungan serius. Persoalannya bukan tentang parti tertentu semata-mata. Persoalannya ialah, bilakah perjuangan politik berubah menjadi seolah-olah tiket ke akhirat?

Tidak salah parti politik memperjuangkan Islam. Tidak salah seorang Muslim memilih parti yang diyakininya paling dekat dengan nilai Islam. Tetapi agama terlalu suci untuk dijadikan alat mendakwa bahawa satu wadah politik mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah.

Syurga dan neraka bukan milik mana-mana parti politik. Penentuan akhirnya adalah hak Allah. Peringatan ini bukan hanya untuk satu parti. Semua parti politik perlu berhati-hati apabila agama dijadikan modal politik.

Apabila sesebuah parti menggambarkan dirinya sebagai lebih dekat dengan agama, perbezaan politik mudah berubah menjadi perbezaan iman. Lawan politik bukan lagi sekadar berbeza pandangan, tetapi dianggap kurang Islam, kurang bermoral atau kurang patriotik.

Inilah yang membahayakan demokrasi. Kita akhirnya tidak lagi berdebat tentang bagaimana memperbaiki pendidikan, ekonomi, kesihatan atau kesejahteraan rakyat. Sebaliknya, kita sibuk menentukan siapa lebih suci dan siapa lebih layak bercakap atas nama agama. Itu bukan kematangan politik.

Jangan jadikan agama sebagai senjata; jangan jadikan kebebasan sebagai alasan

Malaysia perlu menolak kedua-dua ekstrem.

Atas nama kebebasan, kita tidak boleh mengatakan masyarakat mesti menerima semua nilai dan gaya hidup yang datang dari luar. Setiap masyarakat mempunyai sejarah, agama, budaya dan norma yang berhak dipertahankan.

Tetapi atas nama agama p**a, kita tidak boleh memberikan mana-mana kelompok hak eksklusif untuk menentukan masa depan negara.

Malaysia bukan milik satu kaum, satu agama atau satu parti politik. Malaysia milik seluruh rakyatnya.

Kita terikat oleh Perlembagaan Persekutuan dan dipandu oleh Rukun Negara. Sebab itu Rukun Negara bukan sekadar lafaz dalam perhimpunan rasmi.

Kepercayaan kepada Tuhan mesti berjalan bersama Kesopanan dan Kesusilaan. Keluhuran Perlembagaan mesti berjalan bersama Kedaulatan Undang-undang. Kesetiaan kepada Raja dan Negara mesti mengatasi kesetiaan sempit kepada mana-mana kelompok politik.

Jika benar-benar dihayati, Rukun Negara membolehkan kita berbeza tanpa bermusuh, beragama tanpa menghukum, bebas tanpa melampaui batas dan berpolitik tanpa memperdagangkan agama.

Apakah yang mahu kita wariskan?

Selepas 63 tahun, kejayaan Malaysia tidak boleh diukur hanya melalui KDNK, bangunan pencakar langit, lebuh raya atau kemajuan teknologi.

Kita perlu bertanya:

Adakah rakyat semakin menghormati satu sama lain?

Adakah anak-anak kita memahami makna hidup dalam masyarakat majmuk?

Adakah agama menjadikan kita lebih berakhlak atau lebih mudah menghukum?

Adakah kebebasan menjadikan kita lebih bertanggungjawab atau sekadar lebih berani melampaui batas?

Dan yang paling penting ialah, Malaysia yang bagaimana mahu kita serahkan kepada generasi akan datang?

Kita boleh menerima teknologi tanpa menerima semua nilai yang datang bersamanya. Kita boleh menghormati hak individu tanpa mengorbankan norma masyarakat. Kita boleh mempertahankan Islam tanpa merendahkan agama lain. Kita boleh mencintai budaya Melayu tanpa menafikan budaya kaum lain.

Kita juga boleh berpolitik berdasarkan nilai agama tanpa mendakwa bahawa parti kita mempunyai jalan eksklusif menuju syurga. Inilah keseimbangan yang Malaysia perlukan.

Jangan wariskan negara yang hanya pandai bertengkar

Ancaman terbesar kepada Malaysia mungkin bukan kepelbagaian kita. Ancaman yang lebih besar ialah apabila kepelbagaian dieksploitasi oleh mereka yang mendapat keuntungan daripada perpecahan.

Industri boleh mengeksploitasi kontroversi untuk mendapatkan tontonan. Politik boleh mengeksploitasi agama untuk mendapatkan undi. Media sosial boleh mengeksploitasi kemarahan untuk mendapatkan perhatian. Akhirnya rakyat yang menanggung akibatnya.

Kita tidak boleh membiarkan algoritma menentukan nilai masyarakat. Kita juga tidak boleh membiarkan politik menentukan siapa paling beragama.

Selepas 63 tahun, kita sudah cukup matang untuk mengetahui bahawa identiti negara tidak perlu dicipta semula setiap kali berlaku kontroversi. Kita sudah mempunyai kompas iaitu Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Kepada industri kreatif, tanyalah bukan sekadar, “Bolehkah kita menghasilkan kandungan ini?” tetapi “Apakah kesannya kepada masyarakat?”

Kepada agamawan, tanyalah bukan sekadar, “Bagaimana agama kita boleh menang?” tetapi “Bagaimana agama kita melahirkan manusia yang lebih baik?”

Kepada ahli politik, tanyalah bukan sekadar, “Bagaimana kita boleh menang pilihan raya?” tetapi “Malaysia apakah yang akan kita tinggalkan selepas kita menang?”

Dan kepada kita semua, tanyalah soalan paling penting iaitu: Apakah jiwa Malaysia yang mahu kita wariskan?

Negara bukan sekadar sempadan, bendera dan ekonomi. Negara ialah nilai yang kita pilih untuk hidup bersamanya. Jika nilai itu hilang, kita mungkin masih mempunyai Malaysia pada namanya tetapi kita mungkin sudah kehilangan jiwa Malaysia.

Dr Sabariah Baharun
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

23/09/2026

Hari Malaysia adalah hari untuk kita mengingati sebuah janji besar, bahawa rakyat yang berbeza negeri, wilayah, kaum, agama, bahasa dan budaya telah memilih untuk berjalan bersama-sama di bawah satu bumbung bernama Malaysia.

Setelah lebih enam dekad pembentukan negara, kita wajar bertanya kepada diri, adakah kita semakin rapat sebagai sebuah bangsa, atau semakin mudah dipisahkan oleh sentimen politik?

Terlalu lama politik negara dibelenggu pertikaian tentang siapa yang paling berhak memiliki Malaysia. Ada yang mahu dilihat paling Melayu, paling Cina, paling India, paling Sabah, paling Sarawak, paling Islamik atau paling patriotik. Ia seolah-olah kecintaan kepada negara hanya dapat dibuktikan dengan mempertikaikan kesetiaan orang lain.

Hakikatnya, Malaysia bukan milik satu kaum, satu agama, satu wilayah, satu parti atau satu generasi. Malaysia ialah amanah dan tanggungjawab bersama. Di bumi inilah kita dilahirkan, mencari rezeki, membina keluarga dan menanam impian. Di sinilah anak-anak kita sedang membesar. Di tanah inilah juga cucu-cicit kita kelak akan mencari kehidupan.

Maka, persoalan politik yang lebih penting bukan lagi, “Siapakah yang paling berhak memiliki Malaysia?” Sebaliknya, kita perlu bertanya, “Malaysia bagaimanakah yang mahu kita wariskan kepada generasi seterusnya?”

Inilah naratif baharu yang mesti kita bina bersama-sama.

Rakyat hidup dengan bermaruah

Kita mahukan Malaysia yang ekonominya bukan semata-mata berkembang dalam laporan, tetapi membolehkan rakyat hidup dengan bermaruah. Pertumbuhan ekonomi tidak membawa makna jika ibu bapa masih perlu memilih antara membeli makanan dengan membayar bil, anak muda bekerja keras tetapi tidak mampu memiliki rumah, dan warga emas menghabiskan usia dalam keresahan.

Ekonomi bermaruah bermaksud setiap pekerjaan dihargai. Petani, nelayan, pemandu, penjaja, guru, jururawat, pekerja kilang dan usahawan kecil mesti merasakan bahawa sumbangan mereka penting kepada negara. Kekayaan tidak seharusnya hanya berlegar dalam kalangan kelompok tertentu, sementara rakyat biasa terus dihimpit kos kehidupan.

Apabila periuk nasi rakyat menjadi keutamaan, politik akan kembali kepada tujuan asalnya iaitu berkhidmat, bukan bermusuhan.

Kita juga mahu mewariskan sebuah negara yang memberikan pendidikan berkualiti kepada setiap anak. Seorang anak di pedalaman Sabah atau Sarawak mesti mempunyai impian yang sama besarnya dengan anak di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Anak daripada keluarga miskin tidak boleh dihukum oleh keadaan hidup yang tidak pernah dipilihnya.

Mencipta kebersamaan

Sekolah seharusnya menjadi tempat anak-anak mempelajari ilmu dan mengenali manusia yang berbeza daripadanya. Di situlah mereka dididik bahawa perbezaan warna kulit, bahasa ibunda dan agama bukan ancaman. Pendidikan mesti melahirkan generasi yang mampu berfikir, bertanya, mencipta dan bekerjasama, bukan generasi yang mudah diperalatkan oleh kebencian.

Dalam dunia yang semakin dikuasai kecerdasan buatan (AI), Malaysia turut memerlukan teknologi yang beretika. Teknologi boleh memperluas pendidikan, mempercepat urusan dan membuka peluang ekonomi. Namun, teknologi juga boleh menghasilkan fitnah, penipuan, berita palsu dan video rekaan yang mengadu domba masyarakat.

Sebelum menekan butang “kongsi”, tanyalah kepada diri, adakah maklumat ini benar? Siapakah yang mendapat keuntungan apabila rakyat bergaduh? Jangan biarkan jari kita menjadi alat kepada pihak yang mahu membakar negara. Barangkali, kita merasakan hanya berkongsi satu hantaran, sedangkan kesannya boleh meruntuhkan hubungan yang dibina selama puluhan tahun.

Keselamatan yang perlu kita peduli

Malaysia juga perlu bersatu dalam menjamin keselamatan makanan. Tanah subur jangan dibiarkan terbengkalai, petani jangan dipandang sebelah mata dan isu bekalan makanan jangan hanya dibincangkan ketika berlaku krisis. Menghargai petani, penternak dan nelayan bukan sekadar mengenang jasa mereka. Negara perlu memberikan teknologi, pembiayaan, pasaran serta perlindungan yang adil.

Menjamin makanan untuk rakyat ialah sebahagian daripada menjaga maruah dan kedaulatan negara.

Begitu juga dengan kelestarian alam. Kita tidak boleh melaungkan kecintaan kepada Malaysia sambil membiarkan sungainya tercemar, hutannya dimusnahkan dan bukitnya ditarah sesuka hati. Kemajuan yang merosakkan alam bukan kemajuan, tetapi hutang bencana yang akan ditanggung oleh anak cucu kita.

Banjir, gelombang haba dan pencemaran tidak mengenali kaum atau parti. Apabila bencana melanda, rumah penyokong kerajaan dan pembangkang sama-sama boleh tenggelam. Udara tercemar turut disedut oleh semua orang. Alam mengingatkan kita bahawa banyak cabaran negara hanya dapat dihadapi apabila rakyat memilih untuk berdiri bersama-sama.

Peliharalah kesejahteraan ini

Namun, marilah kita bertanya kepada diri, apakah yang akan terjadi jika Malaysia tidak lagi sejahtera?

Apakah yang akan terjadi jika kebencian dibiarkan tumbuh dari hari ke hari, jika jiran mula mencurigai jiran, sahabat memusuhi sahabat dan anak-anak diajar melihat kaum lain sebagai ancaman? Apakah yang akan terjadi jika fitnah lebih dipercayai daripada fakta, kemarahan lebih diraikan daripada kebijaksanaan dan kuasa politik dianggap lebih penting daripada nyawa serta masa depan rakyat?

Ketika keamanan hilang, bukan ahli politik sahaja yang menanggung akibatnya. Rakyat biasalah yang paling awal merasai kesakitannya. Kedai terpaksa ditutup, pekerjaan hilang, sekolah menjadi sepi dan keluarga hidup dalam ketakutan. Ibu bapa bimbang melepaskan anak keluar rumah. Anak kecil p**a membesar dengan luka yang mungkin dibawanya sepanjang kehidupan.

Mahukah kita melihat semua itu berlaku? Nauzubillah.

Mahukah tragedi hitam yang pernah meninggalkan parut dalam sejarah negara menyinggah kembali? Mahukah anak-anak kita menanggung harga daripada kebencian yang kita biarkan hari ini? Mahukah mereka mewarisi sebuah Malaysia yang penuh kecurigaan hanya kerana kita gagal menjaga kata-kata, mengawal emosi dan menghormati perbezaan?

Sudah tentu tidak.

Hargailah keamanan ini

Kita tidak perlu menunggu negara berada di ambang perpecahan untuk belajar menghargai keamanan. Jangan hanya memahami nilai perpaduan selepas kehilangannya. Keamanan yang kita nikmati hari ini bukan sesuatu yang terjadi dengan sendirinya. Ia dibina melalui kesabaran, pengorbanan, toleransi dan kesediaan generasi terdahulu untuk duduk bersama walaupun berbeza.

Kini, amanah itu berada di tangan kita.

Kita boleh berbeza pandangan tanpa menjadi musuh. Menyokong parti yang berlainan tidak bermaksud kita perlu memutuskan persahabatan, menghina keluarga atau mempertikaikan kecintaan seseorang terhadap negara.

Demokrasi memang memerlukan perbezaan. Namun, perbezaan tanpa adab akan melahirkan permusuhan, manakala perbezaan yang diurus dengan matang akan menghasilkan prinsip semak dan imbang.

Pemimpin p**a perlu berhenti menjadikan ketakutan sebagai modal politik. Jangan menakutkan satu kaum dengan kaum yang lain. Jangan menggunakan agama untuk menghukum mereka yang berbeza pandangan. Jangan menjadikan Sabah dan Sarawak penting hanya ketika pilihan raya. Kedua-dua wilayah itu bukan pelengkap kepada cerita Malaysia, tetapi tiang utama pembentukan negara ini.

Kesatuan berasaskan keadilan

Semangat Hari Malaysia menuntut kesatuan yang berasaskan keadilan. Perpaduan bukan bermaksud rakyat mesti berdiam diri terhadap kezaliman. Perpaduan juga bukan memaksa semua orang menyokong parti atau berfikir dengan cara yang sama. Kesatuan sebenar lahir apabila setiap rakyat merasakan suaranya didengar, maruahnya dihormati dan masa depannya turut diperjuangkan.

Rakyat mesti berani menolak pemimpin yang hidup dengan menyemai kebencian. Nilailah pemimpin melalui integriti, kecekapan, rekod perkhidmatan dan keberanian menyelesaikan masalah. Jangan kita lantang menentang rasuah apabila pelakunya daripada pihak lawan, tetapi mencari alasan apabila ia melibatkan tokoh yang disokong. Negara tidak dapat dibina dengan piawaian moral yang berubah mengikut warna bendera.

Kita juga perlu kembali mengenali antara satu sama lain. Tegurlah jiran yang berlainan kaum. Hadirilah rumah terbuka dan gotong-royong. Dengarlah pengalaman masyarakat di Sabah dan Sarawak. Fahamilah keresahan penduduk kampung, pekerja bandar, golongan muda dan masyarakat rentan. Banyak prasangka hidup kerana kita menghukum manusia dari jauh tanpa pernah duduk semeja dengannya.

Malaysia tidak kekurangan perbezaan. Yang semakin berkurangan ialah ruang untuk kita saling mendengar.

Mulakan dari diri kita

Naratif masa depan Malaysia harus bermula dengan perkataan “kita.” Bukan hanya bertanya apa yang kerajaan boleh lakukan, tetapi apakah yang boleh kita sumbangkan? Adakah tutur kata kita mendamaikan atau mengapi-apikan? Adakah perkongsian kita menyebarkan ilmu atau fitnah? Adakah pilihan politik kita berdasarkan dasar dan integriti, atau semata-mata kebencian?

Marilah sama-sama bayangkan anak-anak kita dua puluh atau tiga puluh tahun dari sekarang. Apabila mereka membuka lembaran sejarah, apakah yang mahu kita tinggalkan untuk dibaca?

Biarlah mereka mengenang generasi kita sebagai generasi yang memilih perdamaian ketika kebencian cuba dinyalakan, yang mempertahankan persaudaraan ketika politik cuba memisahkan dan yang menyelamatkan masa depan negara ketika kepentingan sempit cuba menguasainya.

Sempena Hari Malaysia, marilah kita berhenti bertanya siapa yang paling berhak memiliki negara ini. Mulailah bertanya apakah yang boleh kita lakukan untuk menjaganya.

Jika Malaysia terluka, kita semua akan merasai kesakitannya. Jika Malaysia hilang kedamaian, anak-anak kitalah yang terpaksa membayar harganya. Namun, jika Malaysia terus aman, adil dan sejahtera, nikmatnya akan diwarisi oleh seluruh generasi.

Ayuh, Malaysia bukan hanya tanah tempat kita berdiri. Malaysia ialah rumah yang melindungi keluarga kita, harapan anak-anak dan amanah yang wajib kita pelihara, bersama-sama. Berbeza bukan alasan untuk berpecah; mencintai Malaysia adalah sebab terbesar untuk kita terus bersatu!

Selamat Hari Malaysia.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Want your organization to be the top-listed Non Profit Organization in Kangar?
Click here to claim your Sponsored Listing.

Address


Jalan Padang Nyu
Kangar
01000

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when IKRAM Perlis posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Subscribe

We will notify you when anything happens in Kangar.