GPS

GPS

Share

We Are Geng Parlimen Sarawak

13/09/2026

Konvensyen Khas PBB Zon Utara perkukuh kesepaduan parti

Ahad, 13 September 2026

MIRI: Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen P213 Mukah, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Utara yang berlangsung di Stadium Tertutup Miri.

Konvensyen itu menghimpunkan barisan kepimpinan dan perwakilan parti dari Zon Utara sebagai platform untuk memperkukuh kesepaduan serta kerjasama dalam kalangan ahli parti.

Konvensyen tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua PBB, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg. Penganjurannya mencerminkan komitmen berterusan PBB untuk memperkukuh parti, di samping mempererat kerjasama antara parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Konvensyen berkenaan turut menjadi medan penting untuk menyatukan pemikiran, memperkukuh semangat perjuangan dan menyelaras gerak kerja seluruh jentera parti serta memberi tumpuan kepada usaha memperkemas strategi serta meningkatkan kesiapsiagaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

YB Dato Hajjah Hanifah bersama barisan kepimpinan Sarawak yang lain turut menzahirkan sokongan padu terhadap kepimpinan Premier Sarawak dalam meneruskan agenda pembangunan negeri yang progresif, inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat. Sokongan itu mencerminkan komitmen bersama untuk memastikan kesinambungan dasar dan hala tuju pembangunan Sarawak terus diperkukuh.

13/09/2026

SIARAN LANGSUNG 13 SEPTEMBER 2026 : KONVENSYEN KHAS PARTI PBB SARAWAK ZON UTARA

Photos from Fadillah Yusof's post 11/09/2026
31/08/2026

“Kemerdekaan bukan hanya tentang apa yang telah kita warisi, tetapi juga tentang apa yang akan kita wariskan. Kita mahu mewariskan kepada generasi akan datang sebuah Malaysia yang adil, makmur, aman, bersatu dan sejahtera” TPM Fadillah Yusof

🇲🇾SELAMAT HARI KEBANGSAAN KE-69 🇲🇾

Kemerdekaan bukan sekadar mengenang sebuah tarikh.
Kemerdekaan adalah tentang mensyukuri sebuah nikmat — hidup di bumi yang aman, berdaulat dan bebas menentukan arah masa depannya sendiri.

Hari ini, kita berdiri di atas tanah air yang dibebaskan dengan keringat, keberanian, pengorbanan dan air mata para pejuang terdahulu. Mereka mencurahkan tenaga, fikiran dan seluruh jiwa raga demi satu keyakinan — bahawa tanah air ini berhak untuk merdeka, berdaulat dan menentukan masa depannya sendiri.

Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini tidak datang dengan mudah. Justeru, setelah lebih enam dekad kita merdeka, tugas kita bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi memastikan erti kemerdekaan terus hidup dalam diri dan kehidupan kita.

Merdeka bukan hanya bebas daripada penjajahan. Merdeka juga bererti membebaskan diri daripada perpecahan, kebencian, prasangka, ekstremisme dan sikap yang boleh meruntuhkan keharmonian negara.

Kita mungkin berbeza agama, budaya, bahasa, adat dan latar kehidupan. Namun kita berkongsi satu tanah air, satu masa depan dan satu harapan — Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera untuk semua.

Kita mahu anak-anak kita membesar dalam sebuah negara yang mereka banggakan; keluarga kita hidup dalam suasana yang harmoni; dan setiap rakyat mempunyai peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar — perubahan ekonomi dan teknologi, persaingan global, cabaran sosial serta arus maklumat yang begitu pantas — kita tidak boleh kehilangan jati diri, nilai dan semangat kebersamaan sebagai bangsa Malaysia.

Kita perlu terus memelihara perpaduan, menghormati kepelbagaian, menjunjung perlembagaan, menghormati undang-undang dan menghayati Rukun Negara sebagai asas kehidupan bersama.

Inilah semangat Malaysia MADANI — membina sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan, tetapi turut memastikan Kesejahteraan Dinikmati oleh seluruh lapisan rakyat.

Kerana kemerdekaan bukan hanya tentang apa yang telah kita warisi, tetapi juga tentang apa yang akan kita wariskan. Kita mahu mewariskan kepada generasi akan datang sebuah Malaysia yang adil, makmur, aman, bersatu dan sejahtera.

Maka, marilah kita memaknakan kemerdekaan melalui tindakan.

Jaga perpaduan.
Hormati perbezaan.
Pelihara keharmonian.
Tolak kebencian.
Junjung Perlembagaan.
Hayati Rukun Negara.
Dan laksanakan tanggungjawab kita sebagai warganegara dengan penuh amanah.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan 2026 🇲🇾
Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati.

MERDEKA!
MERDEKA!
MERDEKA!

30/08/2026

Merdeka bukan sekadar kibaran Jalur Gemilang 🇲🇾

03/08/2026

Semoga YAB Datuk Amar Fadillah Yusof dikurniakan Allah SWT sebaik-baik kesembuhan…Aamiin

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

Terima kasih atas ucapan, kata-kata semangat dan doa semua. Saya dan keluarga amat menghargainya

Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat perlindungan Allah SWT…Aamiin

01/08/2026

MA63: Hormatilah Fakta Sejarah dan Perlembagaan, Bukan Sekadar Naratif Politik

Sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk menerusi podcast dan media sosial. Saya mengalu-alukan perbincangan seperti ini kerana ia menunjukkan rakyat semakin berminat memahami sejarah pembentukan negara kita.

Namun demikian, saya juga ingin mengingatkan bahawa kebebasan bersuara perlu disertai dengan tanggungjawab untuk memastikan fakta sejarah dan Perlembagaan tidak disalah tafsir.

MA63 bukan sekadar dokumen politik. Ia merupakan salah satu dokumen asas yang membolehkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963. Oleh itu, setiap perbincangan mengenainya sewajarnya berpandukan kepada dokumen rasmi seperti Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963, Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Persekutuan serta dokumen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diperjelaskan.

Pertama, Sarawak dan North Borneo (kini Sabah) tidak pernah mengadakan referendum seperti yang diadakan di Singapura. Sebaliknya, pandangan rakyat dinilai melalui Suruhanjaya Cobbold, proses rundingan, pilihan raya tempatan serta Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1963. Kedua-dua proses ini tidak wajar disamakan.

Kedua, pihak-pihak yang menandatangani MA63 ialah United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, North Borneo, Sarawak dan Singapura. Negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu bukanlah pihak yang menandatangani perjanjian tersebut secara berasingan.

Ketiga, pembentukan Malaysia bukan sekadar kisah Sarawak dan Sabah "menyertai Malaya" sebagai negeri biasa. Sebaliknya, Malaysia dibentuk melalui suatu proses perundingan antarabangsa yang menghasilkan perubahan besar kepada struktur Persekutuan serta memberikan perlindungan dan bidang kuasa khas kepada Sarawak dan Sabah yang masih diiktiraf dalam Perlembagaan sehingga hari ini.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu berlaku adil kepada sejarah. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tidak dibatalkan sepenuhnya pada tahun 1963, tetapi dipinda secara menyeluruh bagi membentuk Persekutuan Malaysia. Oleh itu, kita hendaklah mengelakkan kenyataan yang terlalu mudah atau terlalu mutlak kerana hakikat sejarah dan undang-undang adalah lebih kompleks daripada slogan politik.

Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak berminat untuk mempersoalkan niat mana-mana individu. Ada kemungkinan sesuatu kenyataan dibuat kerana kekurangan penyelidikan, penggunaan istilah yang kurang tepat atau tafsiran yang berbeza. Namun apabila sesuatu perkara melibatkan asas pembentukan negara, setiap kita mempunyai tanggungjawab moral untuk merujuk kepada sumber asal dan membetulkan sebarang kekeliruan sekiranya berlaku.

Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak seharusnya melihat MA63 melalui lensa "menang atau kalah", apatah lagi sebagai alat untuk memecah-belahkan hubungan antara Malaysia Borneo dan Semenanjung Tanah Melayu.

Sebaliknya, MA63 hendaklah difahami sebagai kontrak pembentukan Malaysia yang menjadi asas kepada semangat perkongsian, saling menghormati dan saling mempercayai antara semua wilayah dalam Persekutuan.

Apabila fakta sejarah dihormati, perpaduan negara akan menjadi lebih kukuh. Apabila Perlembagaan difahami dengan tepat, hubungan antara Kerajaan Persekutuan, Wilayah Sarawak, Sabah dan seluruh Malaysia akan terus diperkasakan.

Marilah kita berbahas dengan fakta.

Berbeza pandangan itu lumrah.

Tetapi fakta sejarah dan Perlembagaan hendaklah sentiasa dihormati.

YB Senator Dato' Ahmad Ibrahim
Ahli Parlimen, Dewan Negara
Parlimen Malaysia"

Photos from Hanifah Hajar Taib's post 29/07/2026
26/07/2026

Kekuatan pada perpaduan dan kestabilan politik teras kemajuan Sarawak

Ahad, 26 Julai 2026

SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia merangkap Ahli Parlimen P213 Mukah, YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Zon Tengah yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu. Konvensyen tersebut menghimpunkan barisan kepimpinan parti dari Zon Tengah sebagai platform memperkukuh kesepaduan parti.

Konvensyen berkenaan merupakan pembuka tirai kepada siri Konvensyen Khas PBB Sarawak bagi tahun 2026, yang akan diteruskan di Zon Betong pada 1 Ogos, Zon Utara, Miri pada 13 September dan Zon Selatan, Kuching pada 20 September. Majlis telah disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Yang di-Pertua Parti PBB, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.

Penganjuran konvensyen ini mencerminkan komitmen berterusan PBB dalam memperkukuh kerjasama antara parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), di samping merangka strategi yang lebih tersusun bagi memacu pertumbuhan ekonomi, memperkasa pembangunan negeri serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus menjadi keutamaan.

Konvensyen ini juga menjadi platform penting dalam menyatukan pemikiran, memperkukuh semangat perjuangan serta menyelaras gerak kerja seluruh jentera parti. Penganjuran konvensyen ini turut menjadi medan untuk memperkemas strategi dan meningkatkan kesiapsiagaan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

YB Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib bersama barisan kepimpinan Sarawak yang lain turut menzahirkan sokongan padu terhadap kepimpinan Premier Sarawak dalam meneruskan agenda pembangunan yang progresif, inklusif dan berteraskan kepentingan rakyat. Sokongan tersebut mencerminkan iltizam bersama untuk memastikan kesinambungan dasar serta hala tuju pembangunan negeri terus diperkukuh.

Konvensyen ini turut menjadi wadah penting dalam mempereratkan semangat perpaduan, memperkukuh kerjasama dalam kalangan kepimpinan parti serta menyatukan tekad seluruh jentera PBB bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Sarawak sebuah negeri yang maju, makmur dan berdaya saing demi kesejahteraan rakyat untuk generasi akan datang.

Want your business to be the top-listed Media Company in Kuching?
Click here to claim your Sponsored Listing.

Category

Website

Address


The Isthmus, Sejingkat
Kuching
93050